Rakyat Kelantan Sangat Pemurah

gambar sekadar hiasan

SINDIKET pengemis warga asing, menggunakan kanak-kanak sebagai taktik baharu untuk meraih simpati orang ramai di Kelantan bagi mendapatkan derma.

Loading...

Sindiket dipercayai dari negara jiran itu, mula bergerak aktif menggunakan kanak-kanak berusia seawal empat tahun di beberapa kawasan tumpuan ramai seperti di kaki lima bank dan masjid.

Sumber memberitahu NSTP, sindiket menggunakan taktik itu baru-baru ini, membawa kanak-kanak bersama pengemis dewasa ke tempat terbabit.

“Sindiket ini menggunakan pengemis dewasa dari negara yang sama untuk mengutip derma dari orang ramai di negeri ini.

“Kebanyakan kanak-kanak ini adalah anak kepada pengemis itu sendiri dan mereka dibawa oleh sindiket itu ke tempat terbabit menggunakan kenderaan sama ada van atau kereta.

“Dijangka lebih ramai pengemis warga asing akan memasuki negeri ini apabila bulan Ramadan hampir tiba,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pengemis ini bergiat aktif pada lewat petang dan malam antara 7 hingga 9 malam.

“Kesemua mereka memasuki negeri ini melalui pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand. Mereka akan menggunakan kanak-kanak ini untuk mendapat belas kasihan dari orang ramai untuk memberi derma,” katanya.

Sumber itu berkata, pengemis warga asing yang kebanyakannya wanita, akan berubah tempat mereka meminta sedekah dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Mereka juga cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjual barangan makanan ringan seperti kerepek ubi, keropok segera dan beberapa manisan lain yang diperbuat dari negara jiran,” katanya.

Sementara itu, seorang pengemis yang mahu dikenali sebagai Ha berkata, dia mula meminta sedekah di bandar ini bersama anak lelakinya yang berusia lima tahun sejak awal tahun ini.

Wanita yang berusia 34 tahun itu berkata, dia bersama anaknya akan mengemis dari satu tempat ke satu tempat sambil menjual makanan segera yang dibawa dari tempat asalnya.

“Saya suka mengemis di negeri ini kerana rakyat Kelantan amat pemurah dan suka menderma,” katanya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti mengemis di negeri ini termasuk yang membabitkan warga asing.

Katanya JKM Kelantan juga kerap melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi tujuan menyelamatkan pengemis warga asing.

“Operasi yang sama juga dijalankan dengan kerjasama beberapa jabatan lain seperti Jabatan Imigresen dan polis.

“Kami biasanya akan menyerahkan pengemis warga asing yang diselamatkan itu kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

SUMBER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


Loading...