SAKIT Beri Pengajaran Untuk Ajak Shiro

gambar sekadar hiasan

Dalam pada sibuk mengejar masa dan menumpukan perhatian terhadap kerja, kita sering mengabaikan kesihatan.

Loading...

Bagi pelawak yang kini bergelar penyanyi, Ajak Shiro, sakit yang menimpanya baru-baru ini menjadi pengajaran buatnya agar lebih prihatin mengenai kesihatan.

“Jujur, ketika berperang dengan kesakitan yang saya alami baru-baru ini, dalam kepala saya terus teringatkan arwah Pak Yus dan arwah Din Beramboi,” katanya.

Menurutnya, saat itu juga dia terbayang masa depan isteri dan anak sekiranya perkara buruk berlaku kepada dirinya.

“Kedua-dua mereka adalah pelawak. Arwah Abang Din meninggal kerana sakit manakala Pak Yus pula pergi secara mengejut dalam keadaan sihat.

“Saya terbayangkan isteri dan anak pada waktu itu. Apa akan berlaku kepada mereka sekiranya saya pergi dulu,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman melihat beberapa isteri rakannya dijanjikan pelbagai janji manis ketika baru kehilangan suami tercinta.

Namun, janji itu sekadar kata-kata kosong yang hanya meredakan keresahan keluarga buat seketika.

“Ramai yang cakap mahu tolong itu ini tetapi sudahnya tiada seorang pun yang tampil membantu meringankan beban keluarga si mati.

“Itulah yang saya risaukan jika apa-apa berlaku kepada diri ini. Terfikir apa akan jadi pada anak isteri dan bagaimana mereka akan harungi hari-hari mendatang,” katanya.

Ajak ada tergerak hati untuk memperlahankan kerjaya seni namun apabila kembali sihat pemilik nama sebenar Mohamad Hanaffi Razak ini berasakan pada usia 32 tahun, dia perlu bekerja keras.

“Industri seni kita sekarang berkembang dengan pantas. Bayangkan, dalam sebulan saja, kadang-kadang boleh muncul dua artis baru. Saya perlu bekerja keras untuk terus kekal relevan.

“Saya sentiasa berfikir cara untuk hasilkan idea baru bagi memantapkan karier. Disebabkan itu, saya hadir dengan single solo pertama berjudul Ging Gang Guli ciptaan Hafiz Hamidun,” katanya.

Mengulas lanjut lagu itu, Ajak berkata ia berkonsep komedi dan lagu rakyat.

“Lagu itu diinspirasikan daripada lagu jamboree pengakap ketika zaman persekolahan saya. Lirik saya hasilkan sendiri apabila ia bercerita mengenai rumah tangga dan kekeluargaan,” katanya.

Kata Ajak, dia terpanggil untuk menghasilkan lagu komedi kerana tidak ramai penyanyi berani mengetengahkan karya sebegitu.

“Kalau dulu, kita ada lagu Ayam yang dipopularkan Jalil Hamid. Selain itu, ada juga lagu Gali Lubang Tutup Lubang nyanyian Salih Yaacob.

“Sekarang dah tak ada lagu sebegitu dan memandangkan saya adalah pelawak serta ada peluang berkarya dalam bidang muzik, apa salahnya cuba mengembalikan lagu sebegitu,” katanya.

Ajak bagaimanapun menegaskan, dia tidak menyasarkan lagu ini menang dalam mana-mana pertandingan atau acara anugerah.

“Tidaklah sampai ke situ, cukuplah sekiranya saya mampu menyebarkan aura positif dan pendengar tercuit hati mendengar lagu ini,” katanya.

SUMBER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


Loading...