Umpama Mimpi Kerana Terlalu Menunggu

gambar sekadar hiasan

PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza terasa seakan bermimpi sebaik doktor meletakkan bayi perempuan dalam pelukannya selepas selamat bersalin, semalam.

Loading...

Siti, 39, menerusi pengurusnya, Rozi Abdul Razak berkata, Siti tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan sedih kerana akhirnya dikurniakan cahaya mata selepas 11 tahun berkahwin.

“Apabila dapat berjumpa Siti semalam, saya terus bertanya kepadanya apa yang dia rasa selepas melihat bayi sendiri. Siti berkata, semasa doktor meletakkan bayi dia sangat gembira dan tidak fikir perkara lain. Siti juga menangis.

“Menurut Siti, dia rasa seperti bermimpi dan tidak percaya sudah memiliki cahaya mata. Malah bukan Siti saja, tetapi saya sebagai orang yang rapat dengan Siti pun berasa perkara sama. Sebab tempoh 11 tahun terlalu lama.

“Alhamdulillah, petang semalam Siti sudah boleh makan dan dia juga sudah mulai menyusukan anak. Memandangkan ini pengalaman pertamanya, jadi dia masih dibantu jururawat,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keadaan penyanyi lagu Segala Perasaan itu, Rozi berkata Siti kini ditempatkan di wad biasa.

“Memandangkan Siti menjalani pembedahan, jadi ada beberapa prosedur perlu diikuti. Sehingga semalam dia masih ditempatkan di bilik pemantauan.

“Pagi tadi, Siti sudah dibawa ke wad biasa. Alhamdulillah, Siti dan bayi berada dalam keadaan sihat. Cuma, buat masa sekarang Siti masih perlukan rehat. Siti dijangka berada di hospital dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Mengenai gambar wajah anak Siti yang tular semalam, Rozi berkata dia tidak mahu mengganggu emosi Siti.

“Saya tidak mahu berkongsi apa yang berlaku kepadanya kerana ingin menjaga emosi. Cuma, saya ada meminta izin untuk memuat naik status di laman Instagram semalam berkenaan perkara ini.

“Dalam erti kata lain, kami sebenarnya terkilan dengan apa yang terjadi. Namun, kami tidak boleh menghalang perkara terbabit. Kalau ditanya kepada Siti pun, dia pasti tidak akan menyalahkan mana-mana pihak. Siti jenis yang mudah bertoleransi,” katanya.

Terdahulu, Siti selamat bersalin anak perempuan di pusat perubatan di Kuala Lumpur, 8.17 pagi, semalam.

Siti selamat melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram secara pembedahan.

Suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memilih nama Fatimah Az-Zahra sebagai panggilan sementara sebelum mengumumkan nama sebenar dan wajah anak mereka selepas hari ketujuh kelahiran.

SUMBER

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


Loading...